The Sky never was the Limit...with God

Ramblings and reflections of one growing in stature and wisdom and in his walk with God :)

5:04 PM

Hari Ini

Etched by Isaac

Syukur ke hadapan Tuhanku Yesus kerana melindungiku sewaktu perjalananku pulang ke rumah pada petang tadi.

Hari ini telah menampakkan dua ujian yang amat mencabar bagiku, iaitu kertas 1 Prinsip Perakaunan dan juga kertas kedua Matematik. Masa yang nampak seakan-akan mencukupi sebenarnya tidak dan senario tersebut telah meninggalkan aku dalam keadaan yang agak gelisah. Akan tetapi, berkat kemuliaan-Nya dan kurniaan-Nya, aku berjaya menghabiskan kedua-dua kertas tersebut dalam masa yang diberikan padahal terdapat anasir jahat yang sedang menyanyi beberapa lagu patriotik dengan suara yang kuat sehingga kami yang tengah memikirkan jawapan untuk persamaan perakaunan jatuh terjelepok atas meja. *kesian betul...*

Latihan pancaragam Briged Putera pada hari ini merupakan suatu aktiviti yang memberangsangkan. Dengan penghayatan kawad kaki pancaragam yang asas, kami berusaha menyempurnakan pergerakan kami bagi menjamin kelancaran persediaan kami untuk Hari Sukan yang akan datang.

Selepas itu, aku berkunjung ke kantin sekolah untuk menikmati makanan tengah hari bersama-sama dengan rakan-rakanku, teman-temanku yang sejati sehati sejiwa! Kami membincangkan hari yang telahpun lalu dan membuat persiapan untuk masa depan di samping membuat lawak yang menggelikan hati. =D

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pada hari ini, aku telah berpeluang melibatkan diri dalam suatu aktiviti yang baik untuk menyihatkan badan iaitu aktiviti berjalan. Aku berjalan pulang ke rumah dari stesen LRT Ampang. Perjalanku memakan masa selama 16 minit. Setelah puas menunggu bas datang selama hampir setengah jam, aku telah naik darah dan mengambil keputusan untuk berjalan pulang tanpa menghiraukan keadaan jika bas aku muncul. Cis bedebah bas langsung tiada guna...jahanam....celaka..sial.......*maafkan aku*

Sistem pengangkutan awam di ibu pertiwi kita ini mempunyai banyak kekurangan. Betapa sedihnya aku untuk berkata begini, tetapi itulah hakikatnya. Sudahpun menjadi suatu kenyataan bahawa rangkaian bas dan LRT di seluruh negara tidak mencapai prestasi yang baik mahupun bagus. Kewujudan pengendali bas yang tidak amanah dalam menjalankan tugas mereka telahpun membawa kepada perkhidmatan bas yang serba lambat, tidak menepati masa dan pada keseluruhannya tidak efisien. Peribahasa Melayu ada berbunyi, bagai melepaskan batuk di tangga ; itulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan perlakuan mereka yang menunjangi perkhidmatan bas awam.

Sinaran terik mentari menyuluh seluruh tubuhku, mataku dibelenggui habuk yang berterbangan setiap kali sebuah lori besar berlalu, peparuku dipenuhi asap kenderaan yang sarat dengan kandungan gas-gas pencemar seperti karbon dioksida, karbon monoksida, nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan sebagainya ditambah pula dengan bunyi bising hon yang mengganggu ketenteramanku. Pada bila-bila masa, aku boleh dilanggar oleh pemandu kenderaan yang tidak berperikemanusiaan atau dihempap oleh dahan pokok yang tidak dipangkas dengan sempurna oleh para majlis tempatan, DBKL.

Ah, begitu seksanya kehidupan mereka yang terpaksa bergantung pada pengangkutan awam! Kes aku tidaklah begitu teruk; aku boleh berjalan kaki sekiranya terpaksa, tetapi mereka yang tidak mempunyai alternatif untuk sampai di destinasi merekalah yang akan terus terperangkap dalam kancah ketidakefisienan sistem pengangkutan awam tanah air kita. Perkataan "Dukacita" tidak dapat menggambarkan keadaan hati beribu-ribu penduduk di kota metropolitan ibu negara kita.

Syukurlah, Perdana Menteri kita telah dengan sendirinya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada minggu lepas, dan beliau mencapai kesedaran bahawa taraf perkhidmatan tersebut jauh lebih buruk daripada yang disangkakan. Indah khabar dari rupa. Harapan rakyat sekarang adalah bahawa langkah-langkah yang sewajarnya akan diambil untuk membetulkan keadaan yang begitu diporak-perandakan sebegini sebelum apa-apa rancangan pembangunan lain dijalankan, jangankan kemelut ini disisihkan untuk meninggalkan rakyat dalam kesusahan lagi.

0 opinions: